Terletak lebih kurang 34km menghala ke arah Barat Daya bandar Lumut, kawasan perairan pulau kecil seluas 8 hektar dan setinggi 50m dari paras laut ini amat terkenal sebagai lokasi memancing dan juga aktiviti skuba kerana ianya kaya dengan tumbuhan dan batu karang yang menjadi habitat ikan.
Semua ahli trip tiba di lokasi untuk menaiki bot (Belakang Outward Bound School, Teluk Batik) sekitar jam 6.30 pagi. Masing-masing mengambil kesempatan untuk berkenalan sesama sendiri dan memunggah peralatan dan bekalan ke dalam bot yang sampai pada jam 7.30 pagi.
Sekitar jam 7.45 pagi, bot pancing yang dikemudi oleh Tekong Anuar (Pangkor) pun memulakan perjalanan ke Pulau Jarak. Perjalanan ke Pulau Jarak mengambil masa sekitar 4-5 jam. Masa yang panjang ini telah dimanfaatkan untuk perkara-perkara seperti belajar teknik-teknik ikatan, menyediakan tali perambut, perbincangan tentang pengalaman memancing sesama ahli trip dan tak kurang juga ada yang mengambil kesempatan untuk 'merendahkan badan, mengecilkan mata' bagi mengumpul tenaga untuk memancing sepanjang trip ini.
Dari Kiri: Bang Mat Nor, Bro Daud dan Bro Halim dari Rawang |
Antara kelengkapan yang dibawa |
Kami sungguh bertuah kerana telah terjumpa dengan kawanan ikan lumba-lumba ketika dalam perjalanan. Tekong bertindak menghampiri kawanan ikan tersebut dan kesempatan yang ada tidak dipersia-siakan untuk merakamkan aksi ikan lumba-lumba itu sebagai tanda kenang-kenangan.
Bot bergerak menghampiri kawanan ikan Lumba-lumba |
Seekor Lumba-lumba berenang di haluan bot |
Kami tiba di Pulau Jarak pada sekitar jam 12.00 tengah hari. Setelah sauh dilabuhkan, aktiviti pancingan pun bermula. Perambut apollo berumpankan hirisan kembung, udang mati dan bilis pun di turunkan. Tidak lama kemudian, umpan yang dihulur pun disambut ramah oleh kawanan ikan karang yang sebahagian besarnya didominasi oleh spesis Ikan Jepun (Delah@Lelah@Tofu Fish) bersaiz purata 500gram - 1kg. Lain-lain spesis ikan yang sudi menjamah umpan kami ialah Kunyit-Kunyit, Ciak Raya, Kitang dan beberapa jenis kerapu karang yang rata-ratanya juga bersaiz 500gm - 1kg. Walaupun tidak sebagak mana, sambutan yang tak putus-putus sehinggalah kepada saat terbenamnya matahari sangatlah menghiburkan terutama kepada ahli-ahli yang baru pertama kali mengikut trip ini. Pendek kata, "Racun sudah mengena!!". hehehe..
Ciak Raya sebesar ini adalah saiz biasa di Jarak |
Aktiviti pancingan sebelah malamnya agak suram. Tiada seekor pun sotong yang berjaya dicandat malahan kelibat sotong juga langsung tak kelihatan bermain di sekitar bot. Kami mengambil keputusan untuk berlabuh di tepi pulau untuk memancing spesis Alu-alu dan Kacang sambil mengharap ikan pemangsa lain seperti Tenggiri, Talang dan Gerepuh untuk membaham umpan Kembung Kojol yang dihanyutkan ke belakang bot. Namun usaha kami tetap gagal dan hanya beberapa ekor Kacang yang berjaya dinaikkan dengan kaedah pancingan 'setengah air' berumpankan hirisan kembung dan tongkol. Arus air yang sangat perlahan juga menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kurangnya hasil pancingan pada sebelah malam.
Sekitar jam 2.30 pagi, pancing salah seorang daripada ahli trip iaitu saudara Ijat dari Pantai Remis yang berumpankan ikan Tongkol yang dihanyutkan ke belakang bot direntap kasar. Tali utama 80lb sepanjang hampir 100 meter dari kekili Spinning Okuma beliau keluar dengan begitu laju sekali walaupun sistem tegangan telah disetkan ke tahap maksimum. Nasib menyebelahi beliau kerana mangsa yang mungkin terkejut dengan kehadiran sebuah bot pukat tunda di seberang sana menghamburkan diri ke permukaan air. 'Layaran!!!'... teriak Shahrul yang disambut dengan sorakkan daripada ahli trip yang lainnya lantas membangunkan beberapa ahli yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Selang setengah jam kemudian, 'Monster' yang dianggarkan seberat sekitar dari 30kg berjaya didaratkan dengan bantuan 3 orang ahli trip.
Dari Kiri: Shahrul, Wan dan Ijat |
Setelah mengambil gambar, ikan tersebut dilepaskan semula setelah diberi bantuan pernafasan bagi meneruskan kelangsungan hidupnya untuk berentap dilain masa. Satu rekod peribadi buat Ijat dan kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh semua ahli trip kerana dapat melihat ikan sebesar itu di hadapan mata sendiri. Tahniah!! Kegembiraan tersebut tidak bertahan lama kerana hujan yang agak lebat telah turun hingga ke awal pagi membuatkan semua ahli mengambil keputusan untuk tidur bagi mengumpul tenaga untuk keesokan harinya.
Percayalah, Ikan ni tak sedap mana pun.. C'N'R adalah yang terbaik |
Enterframe Ikan Shahrul.. hehehe |
Kami tiba di Teluk Batik pada sekitar jam 4.30 petang. Trip ditamatkan sekitar jam 5.00 petang setelah proses pembahagian ikan dilakukan.
Keseluruhan Hasil yang dibawa pulang:
- Ikan Jepun (Skala 500gm - 1kg) - Mencecah 400 ekor
- Kacang-kacang - 10 ekor
- Banang (Skala 1kg-2kg) - 10 ekor
- Gerong Belang 2.2kg - 1 ekor
- Jebong 2kg - 1 ekor
- Kerapu, Tanda, Kunyit dan Ciak Raya - Malas nak kira .. hehehe
Lain-lain gambar yang sempat di rakamkan:
Tandas, siap dengan Shower.. |
Dapur |
Tempat tidur bahagian atas yang dapat memuatkan 4-5 orang dalam satu masa |
Terdapat lebih daripada 10 Rod Holder di bahagian kiri/kanan dan belakang bot |
Kesimpulan Trip:
- Tiada spesis Jenahak/ Kerapu Boron yang dinaikkan kerana pancingan menumpukan kawasan persekitaran pulau sahaja (Trip Pengenalan)
- Servis dari Tekong adalah sangat memuaskan ( Peramah, Rajin berpindah jika tiada ragutan, menyediakan makanan dan minuman sepanjang trip)
- Kemudahan di atas bot adalah sangat memuaskan ( Tandas, Dapur dan Tempat Tidur yang baik).
- Ahli-ahli yang sangat sporting dan bekerjasama dalam menjayakan trip walaupun pertama kali bertemu wajah.
- Trip sebegini amat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam arena pancingan Laut Dalam.
p/s: Tekong Anuar boleh dihubungi di nombor 0135853207, maklumat lanjut berkenaan caj boleh diperolehi di ruangan 'PAKEJ MEMANCING' yang terletak di bahagian KANAN blog ini.
No comments:
Post a Comment